30 July, 2010 0 people ''rote''

Apa yang hendak dimalukan dengan Kemiskinan

Assalamualaikum semua.


Segala puji bagi Allah atas kurniaan dan keizinannya. Selawat dan salam buat rasul junjungan. Syukur khususnya bila blog yang bagaikan tin kosong ini ada yang sudi jadi followers. Tulisan saya terdahulu yag masih banyak lompangnya dikatakan bagus. Saya menganggap ianya hanyalah kata pendorong. Allah a’lam. Sesungguhnya niat mula create blog peribadi hanyalah untuk mencoret luahan hati dan minda. Saya tidak menetapkan apa saya perlu menulis sebulan sekali, seminggu sekali atau setiap hari tetapi saya akan menulis mengikut kelapangan. Hakikatnya dalam kepala ni terlalu banyak yang dicoretkan tetapi masa dan kemahiran menulis saya yang terhad menjadi cabaran buat saya. adakalanya blog ini sunyi berbulan bulan. Justeru maaf jika saya mengecewakan anda

Sahabat sahabat,

APA YANG NAK DIMALUKAN DAN DITANGISI DENGAN KEMISKINAN

Semua orang ingin lari dari kemiskinan kerana kemiskinan itu dipercayai sebagai menyusahkan, menyempitkan, dan memalukan. Sementara kekayaan dipercayai sebagai punca kebahagian dan kesenangan. Tetapi berapakah dari kita mampu mengecapi kekayaan? Harganya semahal nikmatnya. Ia menagih jiwa, masa dan tenaga. Satu dari seratus pun belum tentu mampu mengatasi harganya. Setelah bertungkus lumus; segala tulang belulang telah digunakan, setiap masa dimanfaatkan sepenuhnya, kemahiran dan ilmu juga telah diaplikasikan, tetapi kita masih gagal membeli hasilnya. Apakah yang dapat kita lakukan? Menangisi takdir ini? Atau sanggupkah kita merompak dan membunuh deminya? Akhirnya, tidak juga bahagia, tidak juga puas akan kehidupan bahkan adakalanya apabila sampai di puncak kita menyedari banyak yang telah kita kehilangan. Tidak, seorang mu’min tidak akan menangisinya apatah lagi melewati sempadan Allah. sesungguhnya mu’min iu akan sentiasa bahagia dengan apapun takdir hidupnya sekalipun dalam kemiskinan. Kemiskinan ditakrifkan rezekinya sempit sekadar cukup untuk keperluannya.

Sahabat sahabat mu’min, apa yang nak ditangisi dan dimalukan dengan kemiskinan? Sedangkan kemiskinan itu pakaian nabi nabi dan orang orang soleh. Allah mentakdirkan hidup nabi nabi sebagai orang miskin sedangkan Allah boleh menjadikan mereka dari kalangan orang orang kaya. Apabila diberi tawaran kekayaan mereka menolaknya pula. Contohnya nabi muhammad s.a.w menolak tawaran Allah untuk menukarkan bumi mekkah kepada emas. Sabdanya “bukan ini ya Allah, sebaliknya daku mahu makan sekadar kenyang satu hari supaya dapat daku bersyukur, dan berlapar satu hari agar dapat daku meminta kepada-Mu dengan rendah diri” . Subhanallah wallahuakbar! Pasti ada keistimewaan hidup miskin sehingga nabi memilih kemiskinan, padahal dengan kemewahan itu dapat membantunya dalam dakwahnya dan urusan kekhalifahannya? Bahkan ia turut menjadi keutaamaan (pilihan) orang orang soleh sezaman beliau dan selepasnya serta sebelummnya. Keistimewaannya barangkali pada mengenal erti nikmat Allah, mejadikan kita manusia yang bersyukur, menjaga sifat kehambaan, membentuk keperibadian soleh, mewajakan jati diri, dan membantu kejayaan dakwah serta menghindari kita dari fitnah harta,

Kemiskinan sinonim dengan kesukaran hidup. Lalu kemiskinan adalah wadah mengenalkan kita akan besarnya erti ‘nikmat’. Sesuatu keperluan yang diperolehi daripada susah payah akan memberikan rasa nikmat pada perolehan itu. Sebaliknya apabila sesuatu keperluan itu didapatinya dengan mudah sekali, selalunya seseorang itu tidak merasai bahawa ianya suatu nikmat, sebaliknya ianya hanyalah perkara biasa saja sehinggalah dia kehilangannya. Seperti mana merasa kenyang setelah lapar, barulah kita sedar akan nikmatnya kenyang. Kalau kita tak pernah berlapar kita tidak akan dapat bayangkan nikmatnya kenyang. Kita sering merasa “wah! seronoknya hidup dia..semua nak dapat!”, itu pada pandangan kita yang miskin. Kita merasakan ianya suatu nikmat yang besar kerana sukar untuk kita dapatkannya, tetapi biasa pada mereka. Kerana itu kita lihat, ramai orang yang dibiasakan hidupnya dengan kemewahan seringkali menggunakan kemewahannya di jalan yang membazirkan kerana rendahnya nilai wangnya dek kerana senang diperolehinya. Sedangkan kesukaran membuatkan kita lebih menghargai sesuatu nikmat itu. Apapun yang datang dari Allah biarpun kecil tetapi terasa sangat besar..patut digunakan sebaik- baiknya. Demikianlah terasuhnya rasa besar nikmat allah dari hal bersusah payah.

Merasakan akan besarnya setiap nikmat Allah, baik dalam bentuk kesempurnaan anggota, material, keluarga, dan kehidupan keseluruhannya mengajak kita bersyukur. Apabila kita tidak lagi berdaya, tiba tiba datanglah seseorang membantu kita keluar dari ketidakdayaan tadi, pastinya kita akan berterima kasih dengannya. Tika itu kita sanggup buat apa saja untuk membalas jasanya. Bersyukur ertinya melahirkan rasa terima kasih dalam hati dan menzahirkannya dengan lisan dan amalan. Penting sifat bersyukur bukan saja untuk melahirkan rasa terima kasih, tetapi juga berfungsi sebagai pengikat nikmat itu. Dengan bersyukur, boleh jadi orang yang memberikan bantuan tadi akan kembali membantunya di masa hadapan, sebaliknya jika kita iringi pemberian itu dengan kesombongan dan lupa diri, barangkali di lain waktu orang itu tidak lagi sudi membantunya. Begitulah halnya seorang mu’min dengan Tuhannya yang merasakan setiap apa yang dikecapi berupa nikmat ini, datangnya dari Allah S.W.T, pastinya akan bersyukur yakni ruku’, sujud dan tasbih kepada Allah dengan rela hatinya. Justeru itu kemiskinan bukan saja melahirkan mu’min yang kenal akan nikmat Allah tetapi juga secara tidak langsung menjadikanya seorang hamba yang tau bersyukur.

Selain dari itu, kemiskinan dan kesempitan berupaya meningkatkan rasa dan sifat kehambaan kita. Kemiskinan adalah kekurangan pada sudut hajiat di mana ianya sangat doruri untuk kelangsungan hidup. Ini membuatkan kita sentiasa berwaspada kerana apa yang dimiliki hari ini belum tentu ada atau cukup untuk esoknya. Situasi begini sentiasa membuatkannya mengharapkan kelapangan materi dan dokongan emosi serta kekuatan fizikal untuk meneruskan kehidupan. Berbeza dengan kekurangan dalam kekayaan dimana kekuranganya kerana kehendak, makanya keberhajatannya tidaklah terlalu mendesak sebagaimana kekurangan dalam kemiskinan. Desakan hidup membuatkan seseorang itu mencari sumber pergantungan. Sesungguhnya dalam kehidupan mu’min, dia percaya segala keperluan bersumberkan dari Allah, makanya membuatkan sesorang mu’min itu sentiasa berhajat kepada Allah, mendekatkan diri kepadaNya, berusaha untuk meraih perhatian Allah, memohon dengan sungguh hati, ikhlas dan rendah hati agar dilapangkan kesempitannya, dikuatkan anggota badannya dan ditabahkan hati menghadapinya. Dia akan sentiasa memerhatikan ubudiyyahnya dan memperbaikinya. Justeru itu, kemiskinan buat kita lebih bersifat kehambaan.

Jika demikianlah motivasi dari kemiskinan, benarlah kata hukamak, “rahmat Allah selalunya dalam kemiskinan sedangkan murkanya selalunya dalam kekayaan”. Ini kerana apabila kita kaya kita berkemampuan untuk melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak hawa; hawa makan, hawa amarah (dendam), hawa berhibur, bermewah mewahan kerana lazimnya manusia akan guna kemampuannya bukan menahannya. Akhirnya tanpa disedari kita, ia bawa kita jauh dari rasa bertuhan dan bergantung kepadanya. Tetapi si miskin apa saja terpaksa menahan diri kerana tidak berkemampuan biarpun jiwa raganya sangat tertekan. Lazimnya jiwa yang resah dan tertekan akan ingat Allah untuk tenangkan jiwanya. (Al ra’d:28). Itulah rahmatnya..hidupkan hati yang mati dan leka, mudah mudahan akhirnya dapat merasai manisnya iman.

Sesungguhnya, kemiskinan tidak hanya membentuk sifat tawadu’ seorang hamba dengan Penciptanya, tetapi juga memberi manfaat kepada minda dan keperibadiannya. Kemiskinan merupakan guru yang sangat berkesan dalam mendidik syahksiah dan keperibadian mulia seorang mu’min. Pergelutan dengan kemiskinan menjadikan kita berdikari, sentiasa berfikir kehadapan, sentiasa merencanakan kehidupan dan hidup dalam sistem. Pergelutan dengan kemiskinan juga menjadikan kita seorang yang kereatif dan inovatif demi produktiviti (rezeki). Adakalanya tika melayari kemiskinan, kita dihina, dipandang kecil, diumpat dikata lalu mengajar kita betapa jeliknya dan tidak wajar sifat demikian sehingga melahirkan rasa malu dalam diri untuk menjadikan sifat seumpama itu sebagai pakaian diri. Pergelutan dengan kemiskinan juga membuatkan kita peka dan sensitif akan perasaan saudara kita lalu mendidik kita menjaga lisan kita atas saudara kita dan membela maruahnya jika diunjing orang lain. Semua sifat di atas merupakan tuntutan akhlak akhlak islamiyah maka secara tidak langsung, kemiskinan mendidik kita kepada minda dan peribadi mulia.

Kesusahan dan kesempitan yang tersedia dalam kemiskinan juga merupakan medan latihan yang ampuh dalam mempersiapkan diri kepada jati diri waja seseorang mu’min untuk memikul peranannya sebagai hamba dan khalifah. Untuk menjadi hamba Allah yang sempurna dan memikul tanggungjawab sebagai khalifah adalah tanggungjawab yang berat. Cabarannya berliku liku. Musuhnya ramai. Ianya merupakan satu perjuangan dan Kata hukamak “seorang pejuang tidak lahir dari sifat kemanjaan” “bermanja manja hanya melahirkan sifat yang lemah . Maka kita memerlukan satu anjakan untuk mencetuskan sifat perjuangan. Sementara kesusahan dan kesempitan itu ibarat rintangan di sebuah kem pelatih, setiap pelatih yang berjaya mengatasi setiap rintangan bermakna dia telah memiliki kelayakan untuk memikul tanggungjawab. Sebab itu nabi nabi kita membesar dalam keadan miskin dan susah, yatim dan dagang sebelum mereka ditaklifkan sebagai seorang nabi. Ini kerana Allah mahu mempersiapkan mereka untuk menjadi utusanNya. Tidak akan berjaya seorang nabi itu jika tidak dikuatkan jiwanya, tidak diasuh dengan kesusahan. Sebagaimana lemahnya kepimpinan anak bos berbanding kepimpinan seseorang yang bermula dari bawah. Sekiranya dua orang ini diuji dengan musibah perniagaan, anak bos mungkin hilang arah tuju sementara seorang lagi pasti ‘survive’ kerana dia pernah melalui saat yang lebih sukar dari itu. Kita sebagai seorang hamba memerlukan daya tahan sebegini untuk istiqamah di titian mustaqim. dan ingat tanggujawab khalifah dan dakwah tidak hanya terletak di bahu pemimpin tetapi dibahu setiap muslim mengikut kemampuan masing masing. Bahkan kita semua adalah pemimpin. Dan ingatlah apa yang menjadi fardu kifayah pada saat ini boleh jadi fardu ain pada masa lain mengikut waqi’ (keadaan). Yakinlah bahawa kemiskinan itu adalah pendidik jati diri mu’min. Boleh jadi itulah sebabnya rakyat palestin diancam dengan ujian yang berat dari musuh dunia kerana merakalah juga akan mengalahkan puak itu mengikut janji Allah.

Kemiskinan itu juga wajar untuk kejayaan dakwah dan kepimpinan. Bagaimana kiranya manusia yang kita maklum kebanyakannya golongan yang miskin ini, diminta buat itu dan ini sedangkan yang menyuruh itu kaya dan berkemampuan. Apa mungkin manusia akan menurut atau memberi alasan ; “tengoklah kami, kami adalah golongan yang tidak berdaya, sedangkan engkau memiliki segalanya, maka mudahlah bagimu dan sukar pula bagi kami mengikutinya”?. Justeru kemiskinan adalah wajar buat ummat muhammad kerana setiap ummat muhammad adalah daĆ­ dan pemimpin. Hidup miskin bagaikan sedang memberi isyarat “aku tak ubah sepertimu, apa yang kau rasa dan kau lalui aku turut melalui dan merasanya, jika aku boleh lakukan kenapa kamu tidak?” tiadalah manusia dapat beralasan dgn kemiskinannya. Abu Talhah menceritakan:

Kami telah mengadu kepada rasulullah (s.A.W), tentang kelaparan kami. Kami telah menyingkap pakaian kami lalu ,menampakkan perut kami yang diikat dengan sebiji batu ( untuk menahan kelaparan). Kemudian Rasulullah (s.A.w) menyingkapkan pakaian yang menutup perutnya, lalu nampaklah dua batu yang diikat pada perutnya itu. Hadis ini memberikan jawapan “sabarlah” secara balaghahnya. Cuba bayangkan jika sebaliknya, tatkala nabi minta mereka sabar dalam keadaan nabi kenyang. Apa boleh diterima dan diikuti akan perintah sabar? Demikianlah hikmah dari hidup miskin.

Hidup miskin juga menghindari kita dari fitnah harta. Harta itu penawar kalau kena caranya tatapi ianya racun yang amat berbisa. Kilauannya boleh mengaburi mata hati dari memilih penawar kepada memilih racun. Bisanya pula cepat menjalar, denyutnya tidak terasa sehinggakan pemiliknya tidak sedar akan penyakitnya Sebab itu para soleh takut berdampingan dengan harta, bimbang jatuh cinta lalu terpedaya dengan fitnahnya sebagaimana sabada nabi (daku tidak takut kemiskinan dan kebuluran terjadi kepada umatku tetapi daku takut apabila dunia ini diperhiaskan untukmu sebagaimana telah diperhiaskan untuk umat sebelumnya, dan kamu akan terpaut kepdanya sebagaimana umat yang dahulu terpaut dan keduniaan tersebut membinasakan kamu sebagaimana mereka dibinasakan) Sebab itu pada sutau tempat yng lain:rasulullah berdoa: “ya Allah! Tetapkanlah punca hidup keturunan muhammad sekadar cukup untuk keperluan mereka”.

Justeru apa yang ingin dimalukan dan ditangisi dengan kemiskinan. Ianya bukan musibah tetapi juga antara rezeki dan rahmat Allah. Jangan lihat kepada kesusahannya tapi lihat pada hikmahnya. Anggaplah ia ujian untuk kita harungi agar apabila kita ditakdirkan senang nantinya, kita bisa sezuhud dan segigih sayyidna rahman bin auf mengagihkan hartanya dengan menyusuri setiap rumah pada setiap malam meninjau kalau kalau ada yang dalam kesempitan untuk dibantunya. Tidaklah seperti qarun yang kesudahan hidupnya ditelan bumi dalam murka Allah. Sekalipun kita sudah senang asuhlah anak anak dan isteri dengan kesusahan untuk pembangunan personalitinya.

Allahua’lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 
;